20 tahun lalu, saya berhenti kerja sebagai juru audit di firma antarabangsa (KPMG) kerana kurang serasi.
Dalam setahun jugalah saya mencari identiti baru ; jual insurans, jual saham amanah, dan jual kad sim.
Sehinggalah satu hari, melepak dengan sahabat baik saja, Jaja. Dia mencadangkan kerja sebagai tutor rumah (home tuisyen). Jaja sendiri pernah buat kerja ini di zaman universitinya dahulu.
Katanya, “dulu zaman SPM, kau ada ajar aku Addmath, dan aku memang faham cara kau mengajar”.
Saya memang meminati subjek Addmath, dan pernah meraih markah tertinggi ketika tingkatan 5, di Sekolah Menengah Subang Jaya.
Bukan saja itu, Jaja juga memberikan nombor telefon agen tuisyennya, iaitu Khairul untuk saya hubungi.
Di sinilah ia bermula. Terimakasih Jaja.
Tugasan pertama saja : mengajar sekumpulan pelajar di sekolah menengah Sains Selangor di Cheras.
ps : Tapi bertahan 4 kelas saja, kenapa ya?
Kelas Pertama

Kelas pertama saya sebagai cikgu tuisyen adalah mengajar AddMath Tingkatan 5 untuk sekumpulan 4 pelajar perempuan di Sekolah Menengah Sains Selangor di Cheras.
Bayaran adalah RM30 sejam, dan kelas 2 jam. Ok lah, boleh dapat RM60 sekali datang.
Ketika itu, saya tinggal di Taman Tun Dr Ismail, dan perjalanan adalah 40 minit ke Cheras.
Memandangkan ini kelas daripada agen, saya harus membayarnya 50% daripada yuran bulan pertama.
Bab pertama adalah : Logaritma.

Saya ingat lagi, kelas pertama adalah di kantin sekolahnya, dan nampak mereka semuanya seronok belajar.
Saya ketika itu, ingat-ingat lupa juga topik ini, maklumlah sudah 7 tahun tinggalkan SPM.
Jadi saya ajar mereka perlahan-lahan, dan terus berikan latihan. Sementara mereka buat tu, saya terus belajar muka surat sepenuhnya. Nasib baik boleh ikut lagi.
Jadi kelas pertama ; sukses!
Tapi langit tidak selamanya cerah.
Diberhentikan selepas 4 kelas…
Saya mulai seronok mengajar 4 pelajar perempuan tersebut, dan mula melompat ke subjek dan soalan yang lebih sukar.
Tapi saya perasan juga, oleh kerana saya ‘masih baru’, pengajaran saya tidak lancar sangat pada topik yang sukar. Malahan ada soalan pelajar yang saya tak dapat jawab…saya katakan akan beri jawapan pada kelas seterusnya.
Pada kelas ke-4 (kiranya sebulan dah), sedang dalam kereta di sekitar KL Sentral menuju ke Cheras, saya dapat panggilan fon daripada wakil pelajar tersebut.
“Maaf cikgu, kami tak dapat teruskan kelas kerana cikgu sekolah kami ada buat kelas tambahan”.

Terkejut, dan agak sedih. Saya sangkakan kelas dah seronok, tapi diberhentikan pula.
Nota : bertahun-tahun selepas itu, saya baru tahu bila pelajar berkata “terpaksa batal tuisyen sebab ada kelas lain/aktiviti/” ini bermaksud – mereka hanya mahu hentikan perkhidmatan kita saja.
Tak semestinya ada kelas/aktiviti lain pun, sekadar nak jaga hati kita hehe. Tapi masa itu saya percaya je.
Tapi bagaimana respon Khairul, agen tuisyen yang perkenalkan saya kepada pelajar ini?
Agen juga larikan diri
Pada hari yang sama, Khairul (agen yang perkenal tugasan ini) hubungi saya, untuk meminta upah komisen.
Berapa dia dapat?
Sepatutnya (RM30 sejam x 2 jam x 4 kelas x 50% komisen) = RM120.
4 sekumpulan pelajar itu sudah pun bayar saya terus RM240 (jumlah keseluruhan kelas).
Separuh daripada itu adalah untuk agen : RM120.
“Alamak, maaf la Khairul, mereka baru hubungi saya, katanya mahu berhenti kelas. Adakah saya patut bayar komisen lagi?”
Khairul terdiam beberapa saat.
“Hmm tak perlulah bayar.”
Khairul cukup empati pada saya, dan saya berasa bertuah ada agen yang memahami.
“Terimakasih Khairul, jika boleh, carikanlah lagi ya tugasan tuisyen untuk saya ya.”
Haha naif benar saya tika itu. Itulah kali terakhir saya berhubungan dengan dia. Langsung selepas itu dia mendiamkan diri.
Saya hairan juga, tapi sekarang mudah saja difahami – saya adalah tutor yang TIDAK MENJANA PENDAPATAN UNTUK DIA.
Kredibiliti saya sudah hilang. Haha kena lah cari jalan lain.
Dari sini saya mengenali laman tuitionplaza.com – dari sini saya mulakan kembali kerjaya saya.
Sekian, ini sajalah cerita bagaimana saya bermula mengajar dan tugasan pertama saya.