Site icon Cikgu ZZ

Jejak Cikgu : ZZ bersama Cikgu Nora


Guru Cemerlang Fizik & Matematik: Temubual Eksklusif bersama Cikgu Nora

Dalam siri Temubual Jejak Cikgu ZZ kali ini, kami menampilkan seorang tenaga pengajar hebat Akademi ZZ — Cikgu Nora, seorang Guru Cemerlang Fizik DG48 yang bukan sahaja aktif mengajar di sekolah menengah, tetapi juga merupakan salah seorang panel tetap Didik TV KPM sejak tahun 2020.

Mari kita ikuti perkongsian menarik daripada beliau tentang dunia pengajaran, pengalaman mengajar dalam talian, dan rahsia membina minat pelajar dalam Matematik serta Fizik.


Latar Belakang Cikgu Nora

Cikgu Nora kini bertugas di SMK Air Merah, Kulim, Kedah, dan menetap di kawasan yang sama. Walaupun latar akademiknya dalam Fizik dan Matematik, beliau juga aktif mengajar subjek Matematik Tingkatan 4 dan 5 di Akademi ZZ secara dalam talian.

“Untuk Matematik, saya hanya mengajar di Akademi ZZ. Tapi untuk Fizik, saya ada juga buat kelas personal online — tak ramai pun, dalam 30 orang saja,” katanya sambil ketawa kecil.


Fizik vs Matematik — Mana Lebih Seronok?

Apabila ditanya antara dua subjek itu mana yang lebih seronok diajar, Cikgu Nora tersenyum:

“Kalau ikut jawatan saya sekarang, Fiziklah. Tapi sebab dalam Fizik ada Matematik, dua-dua ni sebenarnya berkait. Cuma Fizik ni seronok sebab boleh buat hands-on dan eksperimen. Matematik pula lebih abstrak, jadi kena banyak drilling.”


Pengalaman di Didik TV NTV7

Sejak pandemik COVID-19 tahun 2020, Cikgu Nora menjadi salah seorang panel tetap Fizik Didik TV KPM di NTV7.

“Panel Fizik ada lebih kurang 5-6 orang, jadi kami bergilir-gilir. Tak semestinya tiap bulan kena turun KL, tapi bila ada slot saya akan ke sana. Dah masuk tahun kelima dah sekarang,” jelasnya.


Seronoknya Mengajar Secara Online

Ramai yang beranggapan kelas dalam talian tidak sehangat kelas bersemuka, tetapi bagi Cikgu Nora, keadaannya berbeza.

“Kalau ikut seronok, memang kita nak kelas bersemuka. Tapi banyak kekangan masa. Online ni saya boleh ajar walaupun dalam kereta — asalkan berhenti dekat R&R dan ada internet!”

Beliau turut berkongsi, kadang-kadang kelas dijalankan dari tepi jalan semasa dalam perjalanan. Namun, sambungan internet jarang menjadi masalah.

“Saya akan pastikan line elok. Kalau lag, saya minta pelajar tutup kamera sekejap.”


Bonding Dengan Pelajar – “Mak-Mak Vibes”

Walaupun mengajar secara online, Cikgu Nora tetap rapat dengan pelajarnya.

“Saya memang jenis mak-mak vibes,” katanya sambil ketawa. “Ramai pelajar yang PM saya secara personal bila mereka segan nak tanya dalam kumpulan Telegram. Ada yang sampai kongsi keputusan peperiksaan mereka!”

Beliau pernah menganjurkan bengkel Fizik di UKM dan terkejut bila pelajar dari Johor dan Perak sanggup datang ke KL semata-mata nak jumpa.

“Saya terharu. Selalu tengok nama je dalam Zoom, tapi bila jumpa depan mata, lain feel dia.”


Rahsia Dapat Rating Tertinggi di Akademi ZZ

Cikgu Nora diakui antara tutor paling digemari di Akademi ZZ. Setiap kelasnya mendapat rating tertinggi daripada pelajar.

Apa rahsianya?

“Kita kena pandai bermain kata,” katanya sambil tersenyum. “Saya cakap dengan pelajar — kalau awak nak A dalam pelajaran, kenalah bagi A juga pada cikgu!”

Selain itu, beliau tidak pernah skip mana-mana soalan semasa kelas.

“Saya akan habiskan semua soalan dalam modul yang diberi. Kalau pelajar lemah, saya akan ulang banyak kali sampai faham. Tapi kalau masih tak dapat juga, saya akan suruh dia PM saya personal.”

Beliau juga sentiasa menyebut nama pelajar semasa mengajar.

“At least sekali setiap kelas saya akan panggil nama mereka. Yang senyap tu saya panggil lebih sikit. Lama-lama mereka rasa kelas tu untuk mereka, bukan sekadar tengok skrin.”


Online vs Bersemuka — Apa Masa Depan Pendidikan?

Bagi Cikgu Nora, kelas dalam talian bukanlah trend bermusim.

“Saya rasa kelas online ni memang akan kekal. Murid fleksibel, boleh tengok rakaman bila tak sempat hadir. Kalau bersemuka, kalau ponteng dah terlepas terus. Lagi satu, pelajar asrama pun boleh join masa cuti.”


Tips Untuk Ibu Bapa – Bantu Anak Kuasai Matematik

Sebelum menutup sesi, Cikgu Nora berkongsi pesanan untuk ibu bapa yang anaknya lemah Matematik:

“Sifir kejayaan Matematik ialah drilling. Ulang kaji secara kerap. Minimum 10 soalan sehari, walaupun soalan sama. Jangan kejar banyak buku — ulang satu buku sampai nampak pola soalan. Bila anak dah nampak pattern, baru timbul minat.”

Beliau juga menyarankan agar pelajar tidak menconteng buku latihan, supaya boleh ulang semula bab yang sama beberapa kali.


Penutup

Sebagai penutup, Cikgu Nora sempat berkongsi pengalaman lucu:

“Kadang student tanya saya masa ceramah luar — ‘Cikgu ada buat kelas tuisyen tak?’ Saya kata masuk je group Telegram saya, kalau ada, adalah,” ujarnya sambil ketawa.

Begitulah semangat dan keikhlasan seorang guru cemerlang seperti Cikgu Nora — bukan sekadar mengajar, tetapi membimbing dengan jiwa.

Tidak hairanlah pelajar Akademi ZZ terus kekal setia dengannya sejak bertahun-tahun.


Nak kenal lebih ramai tutor inspirasi seperti Cikgu Nora?

Ikuti siri Jejak Cikgu ZZ seterusnya di blog ini.


Exit mobile version