Cikgu ZZ

Tips

5 Cara Bagaimana Ibu Bapa Boleh Membantu Anak Belajar Online

“Pembelajaran secara atas talian dalam tempoh yang lama akan memberi kesan negatif terhadap prestasi pelajar.”

Asril Ariff Abdul Malik

Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Kedah, Asril Ariff Abdul Malik berkata, bukan semua pelajar mudah menyesuaikan diri dengan kaedah pembelajaran yang baharu ini.

Pembelajaran atas talian boleh dianggap mudah dari segi kekangan masa dan jadual harian, namun boleh juga menjadi cabaran yang besar buat pelajar-pelajar terutamanya untuk kekal bertenaga dan fokus sepanjang kelas atas talian.

Situasi ini amat membimbangkan ibu bapa kerana mereka tidak mahu anak mereka ketinggalan dalam pelajaran mereka.

Jadi untuk menyelesaikan masalah ini, di sini saya akan kongsikan 5 Cara Bagaimana Ibu Bapa Boleh Membantu Anak Belajar Secara Online Di Rumah:

Sediakan peranti elektronik yang berfungsi dan sesuai untuk kelas atas talian.

Berdasarkan tinjauan yang dijalankan Menteri Pendidikan, daripada 893,331 orang murid hampir 40% dariada mereka tidak mempunyai peranti elektronik.

Sebagai ibu bapa kita perlu lah menyediakan sekurang-kurangnya sebuah telefon pintar khas untuk anak-anak bagi memudahkan mereka untuk masuk ke kelas online dan melakukan kerja-kerja PDPR. Tanpa kemudahan elektronik anak-anak tidak akan mampu untuk mendapat pendidikan yang berkualiti.

Wujudkan tempat khas untuk belajar.

Tak perlu buat bilik khas, memadai dengan mengadakan sebuah ruangan khusus yang kondusif untuk mereka duduk dan belajar. Selain itu, ibu bapa juga perlu halang anak-anak daripada menduduki kelas online secara sambil lewa seperti menghadiri kelas sambil berbaring di ruang tamu atau di depan televisyen.

Perkara seperti ini akan membuatkan mereka semakin susah untuk fokus ketika belajar.

Sentiasa pantau kerja sekolah yang diberikan kepada anak-anak.

Anak-anak akan sentiasa mahukan rehat selepas seharian kelas online.Kadangkala sampai terlupa kerja-kerja yang ditugaskan guru.

Di sinilah ibu bapa perlu memainkan peranan iaitu dengan sentiasa mengambil tahu tentang proses PDPR anak-anak. Lepas sahaja habis kelas online, minta anak siapkan terus kerja rumah yang cikgu bagi supaya tak perlu nak buka tutup laptop atau telefon banyak kali. Ini akan memberi mereka waktu yang lebih untuk bermain dan berehat.

Pastikan anak-anak bersedia dan menjaga adab ketika kelas.

Kelas online membuatkan pelajar mengambil remeh tentang adab dan etika yang perlu diamalkan di dalam kelas. Oleh itu, kita perlu sentiasa ingatkan anak-anak supaya berpakaian sesuai, masuk kelas pada waktunya dan tidak melakukan aktiviti lain yang tidak berkaitan ketika kelas sedang berlangsung.

Kita tidak mahu sistem pembelajaran online ini menghakis nilai hormat yang sepatutnya diraikan ketika menuntut ilmu pengetahuan.

Pastikan anak dapat rehat yang cukup.

Kajian menunjukkan bahawa 50% daripada pengguna komputer mengalami kesan simptom ketegangan mata, mata kering dan rabun. Menatap paparan skrin biru atau ‘Blue screen’ dalam tempoh yang lama juga akan memenatkan fizikal dan mental anak-anak.

Oleh itu, mereka hendaklah mendapatkan rehat dengan tidur yang cukup. Ibu bapa juga boleh mengehadkan masa penggunaan skrin anak-anak. Ini akan membantu menyeimbangkan masa mereka antara berhibur, belajar dan berehat.

Kesimpulan :

Pembelajaran di rumah ni banyak dugaannya. Maklumlah di rumah suasananya tak formal seperti sekolah. Adik-beradik ada, ibu bapa ada, semua perlu berkongsi ruang yang sama. Kadang-kadang sampai boleh buat mereka lari fokus.

Semoga perkongsian ini sedikit sebanyak dapat membantu ibu bapa dalam memastikan anak-anak kekal cergas dan tenang sepanjang sesi pembelajaran atas talian mereka di rumah.

Bagaimana anda bantu anak anda? Boleh kongsikan juga idea bernas di sini.

Leave A Comment